Polis mendedahkan, jumlah hasil rampasan dari premis berkaitan Najib Razak pada bulan lalu adalah antara RM900 juta sehingga RM1.1 bilion.
Ia termasuk 12,000 unit barang kemas yang dinilaikan pada kos RM440 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh.
Barangan kemas itu katanya termasuk 2,200 cincin, 1,400 rantai, 2,100 gelang dan 2,800 subang, 1.600 kerongsang dan 14 tiara dalam 25 beg yang dirampas di kediaman berkaitan Najib.
Jumlah sebenar barang kemas terbabit bagaimanapun mungkin mencecah sehingga RM660 juta atau RM880 juta kerana anggaran kos itu tidak melibatkan kos pembuatan dan rekaan, kata Amar Singh.
Selain itu, beg tangan mewah yang dirampas berjumlah 567 unit dianggarkan bernilai RM441 juta, antara lainnya dari jenama Hermes, Prada, Chanel dan Bijan,
Sebanyak 423 utas jam tangan, antaranya daripada jenama Rolex dan Chopard pula bernilai RM78 juta, manakala 234 kaca mata berjenama yang turut dirampas bernilai RM374,000, kata Amar Singh.
Jumlah wang tunai yang dirampas berjumlah RM116.7 juta, tambahnya dalam sidang media hari ini.
Tambahnya, polis mengambil masa yang lama untuk menilai barangan rampasan itu demi menjaga bahan bukti terbabit.
“Kami bekerja sepanjang Hari Raya. Ramai bertanya kenapa ambil masa lama. (Jawapannya) sebab angka (nilai rampasan) terlalu besar. Untuk memastikan integriti bahan bukti, kami kena bertindak perlahan-lahan dan berhati-hati.
“Ini adalah hasil rampasan paling besar dalam sejarah,” katanya lagi ketika ditanya pemberita.
Polis membuat rampasan di dua premis di Putrajaya, kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, unit kondominium mewah yang dihuni anak lelaki dan perempuannya, serta sebuah lagi unit di kondominium sama.
Menurut Amar Singh, polis akan mengambil keterangan daripada individu tertentu untuk memastikan sama ada barangan tersebut sememangnya hadiah kepada isteri Najib, Rosmah Mansor.
Seterusnya, polis akan menyoal Rosmah sekali lagi, tambahnya.
Tambahnya, siasatan ke atas kesemua barangan dan wang tunai terbabit dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). – TMI