Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Mahfuz Omar menolak alasan bekas PM najib Razak bahawa harta yang dirampas di kediamannya berjumlah RM1.1 bilion merupakan hadiah.
Katanya, tiada hadiah diberi dalam jumlah ‘segila’ itu. Jika ada pun, dakwa Mahfuz’ ianya mungkin berselindung ‘tujuan tertentu’.
“Harta RM1.1 bilion itu terlalu mengejutkan. Saya tidak percaya barang-barang mewah yang dirampas itu adalah hadiah sebab tiada siapa akan memberi hadiah dengan tahap yang begitu menggila sekali.
“Dan jika ia adalah hadiah sekalipun, ia diberi oleh pemberi dengan ‘tujuan-tujuan tertentu’.
“Rampasan dan penilaian ‘harta karun’ tersebut jelas menunjukkan bahawa Najib tidak boleh lagi memberi alasan-alasan bodoh mengenai harta tersebut.
“Tiada siapa yang akan mempercayai beliau. Sesiapa mempertahankan beliau adalah orang yang tidak bermaruah atau bersekongkol dengannya.
“Gaji beliau pun tidak akan membolehkan beliau mengumpul begitu banyak harta. Jelas bahawa skandal 1MDB dan ‘harta karun’ beliau telah membenamkan beliau dan isterinya sekaligus,” kata Mahfuz.
Sehubungan itu beliau berasa lega kerana Pakatan Harapan menang Pilihanraya Umum 14 (PRU14), sekiranya kalah maka Malaysia tentunya menuju ke arah bankrap.
“Najib telah memiskinkan rakyat dan negara. Saya kenal ramai orang yang telah dibenamkan oleh Cukai Barangan Dan Perkhidmatan apabilia perniagaan mereka mengalami kerugian disebabkan oleh kos operasi yang tinggi,” tambah Mahfuz.
Mengulas isu sama, Exco kerajaan Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin juga menyifatkan alasan Najib kononnya harta yang dikumpul adalah hadiah sebagai tidak boleh diterima sama sekali.
“Jumlah begi tangan mewah sebanyak 567 buah adalah satu angka yang gila.
“Rakyat bukan bodoh, tiada orang yang akan mempercayai kenyataan Najib bahawa barangan mewah itu telah dihadiahkan kepada beliau.
“Juga, jumlah harta yang terlalu banyak itu menunjukkan bahawa pemiliknya ada isu dengan ‘kewarasan’,” sinis Nizar.