Bekas ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar parti itu dan mengisytiharkan dirinya sebagai anggota parlimen bebas.
Mas Ermiyati dalam satu kenyataan melahirkan kekecewaan terhadap perubahan dalam parti yang disifatkannya “tidak kesampaian”.
“Oleh yang demikian, bermula 1 Julai 2018 dengan seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman, saya mengumumkan keluar daripada parti Umno bersama-sama dengan pengikut setia saya dan saya akan menjadi ahli parlimen bebas.
“…bagi maksud yang telah dinyatakan iaitu untuk menjadi ahli parlimen yang berperanan menegur dan menasihati pihak Kerajaan sebagai “check and balance” atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan HARAPAN tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti.
“… dan berlandaskan latar belakang saya sebagai bekas peguam, saya berharap untuk membuat yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memastikan badan eksekutif di pantau oleh parlimen yang efektif,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati tidak bertanding dalam pemilihan Umno yang berakhir semalam. Pada PRU14, lalu beliau menang kerusi Anggota Parlimen Masjid Tanah.
Dengan pengumuman Mas Ermieyati itu, Umno kini mempunyai 51 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Menurut bekas timbalan menteri pelancongan itu, beliau menyertai Umno kerana ia dianggap satu-satunya parti yang diharapkan oleh orang Melayu sebagai landasan dan pentas untuk berjuang membela agama, bangsa dan negara secara harmoni bersama bangsa-bangsa yang lain.
Namun katanya keputusan pemilihan semalam menunjukkan reaksi sebenar ahli Umno yang masih berada dalam sindrom penafian.
“Harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70 peratus muka baru yang berwibawa di pelbagai peringkat tidak kesampaian,” katanya.
Tambahnya, beliau turut percaya kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak Umno.
Sebaliknya, katanya, mereka beranggapan Umno hanya mangsa kebencian rakyat kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas presiden parti.
“Pemulihan apakah ini, kalau virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?
“Ikhlas saya katakan, Umno kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri,” katanya. – Mkini