Amanah tidak menolak kemungkinan dua wakil rakyat parti itu daripada Pulau Pinang akan dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, hari ini.
Perkara itu diumumkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Amanah Pulau Pinang di Sungai Dua, semalam.
Pada majlis itu, beliau turut memberi bayangan bahawa individu yang dimaksudkan turut hadir pada majlis tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan itu enggan mendedahkan nama pemimpin yang akan dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.
“Esok ada lantikan kabinet penuh. Majlis angkat sumpah menteri-menteri yang baharu akan berlangsung di Istana Negara bermula jam 10 pagi sehingga selesai.
“Saya dengar khabar angin di Pulau Pinang ada satu lagi menteri dan timbalan menteri yang saya ingat ada di depan saya sekarang,” katanya.
Buat masa ini, hanya seorang wakil rakyat daripada Pulau Pinang yang dilantik sebagai menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Beliau merupakan antara 13 anggota kabinet yang telah mengangkat sumpah jawatan menteri pada Mei lalu.