Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai Presiden PKR pada pemilihan nanti.
Timbalan Ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata, cadangan itu adalah bagi memantapkan lagi parti dalam mengharungi pelbagai cabaran mendatang.
“Kita kena buat persediaan untuk masa depan yang lebih baik kerana calon perdana menteri ke-8 kita adalah Anwar.
“Saya percaya langkah terbaik adalah Anwar perlu bertanding sebagai presiden parti pada kali ini,” katanya kepada media, hari ini.
Menurutnya, cadangan itu diyakini akan mendapat sokongan ramai ahli yang mahu memantapkan lagi perjuangan parti.
“Saya percaya ahli-ahli parti akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Anwar untuk kembali aktif dan menjadi presiden parti,” katanya.
Ditanya pula sama ada beliau berhasrat bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan kali ini, beliau akui belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Saya belum ambil apa-apa keputusan lagi untuk bertanding jawatan mana, cuma saya melihat pemilihan kali ini adalah penting untuk PKR sebagai sebuah parti memerintah,” katanya.