Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menolak tawaran menjadi speaker Dewan Rakyat yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH) kepadanya.
Menurut Johari, dipetik sebagai berkata, keputusan tersebut diambil bagi mengelakkan daripada berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dun Gurun sekiranya beliau menerima tawaran berkenaan.
“Nama saya naik sebagai calon Speaker Dewan Rakyat, tetapi saya menolak.
“Sebabnya saya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (sekiranya menerima tawaran tersebut). Saya tak rasa saya boleh buat macam itu.
“Jadi saya menolak untuk mengelakkan daripada berlakunya pilihanraya kecil,” katanya dalam kenyataan dipetik hari ini.
Mengikut Perkara 57 (4) perlembagaan persekutuan, seorang Adun yang dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat mesti ‘mengundurkan diri dari Dun sebelum menjalankan tugasnya.’
Selain nama Johari turut disebut-sebut antara calon speaker adalah Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.
Dalam perkembangan sama, walau Datuk Johari Abdul dicalonkan sebagai speaker Dewan Rakyat namun pelantikan itu boleh mengancam kestabilan Kedah kata pemimpin PKR N Surendran.
Beliau berhujah Johari, wakil rakyat Gurun, harus meninggalkan kerusi negeri itu dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan.
Peguam itu menjelaskan Perkara 57(4) perlembagaan negara mewajibkan seorang wakil negeri berbuat demikian jika dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat.
Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Kedah dengan keadaan kurang stabil apabila menguasai 18 kerusi, separuh kekuatan Dewan Undangan Negeri.
Pas menguasai 15 kerusi dan tiga lagi dipegang wakil rakyat Umno.
“Membuka jalan supaya pilihan raya kecil di Gurun akan menjadi langkah berisiko dan tidak bijaksana oleh PH, memandangkan keseimbangan kuasa yang tidak menentu,” kata Surendran seperti dilapor Malaysiakini.
Bekas ahli parlimen Padang Serai itu berkata pilihan raya itu bukan perkara kecil dan tidak adil bagi pengundi Gurun yang baru memilih pada 9 Mei lalu.
Johari, juga ahli parlimen Sungai Petani, mengesahkan kepada Malay Mail hari ini beliau telah disenarai pendek untuk jawatan penting itu.
“Jika saya terpilih, saya mesti mengosongkan kerusi (Gurun), ya. Tapi akan berbincang mengenainya apabila tiba masanya,” katanya.
Johari menang di Gurun buat pertama kali dengan 4,207 undi. Beliau mempertahankan parlimennya bagi kali ketiga dengan majoriti 21,569 undi. – MD