Kerajaan Pulau Pinang yakin rancangan pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di Penaga dapat direalisasikan hasil hubungan erat dengan kerajaan persekutuan.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Afif Bahardin berkata, projek itu pada sebelum ini sukar untuk mendapatkan kelulusan akibat daripada masalah birokrasi dan elemen politik.
“Kita harus ada sikap yang lebih terbuka dan perubahan minda kerana projek ini dibuat bersama dengan pengusaha tempatan, bukannya projek haram.
“Projek ini dibuat dengan meletakkan undang-undang, peraturan dan syarat sebagai keutamaan dan kepentingan,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan bencana 2017 di Pejabat Perikanan Pulau Pinang, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memastikan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dapat diperoleh terlebih dahulu sebelum projek dilaksanakan.
“Kita nak pastikan laporan EIA yang sedang diusahakan ini benar-benar dapat menjadikan ZIA Penaga sebagai satu zon industri contoh.
“Bukan hanya berjaya menjalankan industri itu, tetapi mesra alam dan tidak menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar. Ini usaha yang kita buat.
“Kita bukan macam di sesetengah negeri lain pada sebelum ini yang mereka buat dulu projek, tapi laporan EIA belum dapat. Apabila jadi masalah, baru cuba nak selesaikan,” katanya.
Adun Seberang Jaya itu berkata, beliau akan pastikan projek tersebut berjalan mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar.
“Kalau nak lihat ZIA Penaga ini sebagai projek perintis. Kalau ia berjaya, kita akan bina lebih banyak lagi ZIA di negeri ini,” katanya.
Afif berkata, Pulau Pinang merupakan pengeluar terbesar bagi makanan sumber protein kedua tertinggi di Malaysia.