Menteri Pelajaran, Maszlee Malik mencadangkan satu dekad dilancarkan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan utama bukan sahaja di negara ini tetapi juga di rantau Asean dan persada dunia.
“Kita akan lancarkan dekad bahasa kebangsaan yang akan melakar pelan komprehensif untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pilihan utama di tanah air, di kalangan penutur bahasa Melayu di rantau Asean, dan juga menjadi bahasa popular di persada dunia,” katanya pada perhimpunan bulanan kementerian pendidikan di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata program itu akan diterajui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dan berharap suatu hari nanti dapat mencapai tahap institusi seperti British Council.
Terdahulu dalam ucapannya, Maszlee juga menekankan pentingnya mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa ketiga seperti bahasa Mandarin, Tamil, Hindi, atau bahasa asing seperti Jepun, Jerman atau Perancis.
“Ini boleh jadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat multilingual. Kekuatan rakyat Malaysia adalah kita punyai pelbagai ethnik dan bangsa.
“Kepelbagaian ini adalah kekuatan Malaysia dan bukannya alasan untuk kita berpecah. (Ia) untuk jadi jauh lebih baik dari rakyat di negara-negara lain,” katanya.
Dalam ucapannya, Maszlee juga menekankan bahawa perlu adanya kasih sayang dalam pendidikan, bukan hanya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga antara pendidik, pelajar, dan ibu bapanya.
Ini kerana katanya, terdapat kurang kepercayaan antara pihak berkepentingan dalam sistem pendidikan, yang boleh diperbaiki menerusi kasih sayang antara satu sama lain. – Mkini