Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mengecam keras posting ugut bunuh di facebook yang berterusan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.
ADUN DAP itu menerima ugutan bertulis dalam peti surat pusat khidmat beliau pada 11 Julai lalu berbunyi ‘Maut Menanti Kamu’. Namun beberapa hari kemudian beliau menerima lagi ugutan hampir sama di FB.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa agar polis segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya agar budaya ugutan yang sering diamalkan ketika pentadbiran BN dahulu tidak diteruskan pada era kerajaan baharu.
“Amalan ugut-mengugut wajib dihentikan serta-merta. Polis mesti menyiasat dengan teliti dan pihak yang mengugut dan memfitnah harus diberi hukuman yang berat.
“Dalam era Malaysia Baru, tiada ruang untuk isu perkauman,” tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu kepada Suara pakatan daily.
Beliau berharap topik perkauman yang melibatkan perlantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan perlantikan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara tidak timbul lagi.
“Sekarang Pakatan Harapan (PH) adalah Kerajaan Persekutuan dan sesiapa yang dilantik telah dilantik atas sebab merit untuk jawatan tersebut.
“Era perkauman sepatutnya sudah hapus apabila BN kalah dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Justeru, giliran PH pula untuk menjaga hak-hak orang Melayu dan Kerajaan Pakatan sudah tentu akan melakukan yang terbaik,” kata Mahfuz lagi.
Beliau yang juga Naib Presiden Amanah berkata suara-suara dari pemimpin Umno dan Pas yang masih menekankan faktor perkauman tidak akan didengar oleh majoriti masyarakat Melayu yang semakin bijak.
“Pengundi Melayu walaupun akan mengambil masa, lama-kelamaan akan celik berpolitik juga. Walaupun di kawasan kampung masih terdapat pengundi yang ‘biru pekat’.
“Namun begitu, saya rasa mereka akan beransur-ansur menyokong Pakatan setelah mereka lihat cara pentadbiran kita yang bersih dan telus serta hak-hak Melayu tidak pernah dikikis,” kata Mahfuz.
Ugutan ke atas Syerleena timbul dari fitnah yang bermula tahun lalu bahawa beliau dikatakan anti-Islam kerana menjadi pemimpin DAP dan fitnah itu dikitarkan semula semasa kempen PRU14.