Walaupun insiden ahli parlimen BN dan Pas meninggalkan Dewan Rakyat telah dua hari berlalu namun masih banyak pihak yang mengkritik tindakan tersebut.
Menurut Exco Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin tindakan keluar dewan lebih kepada kegagalan BN memahami peranan sebagai pembangkang yang baik.
Katanya, bantahan sepatutnya dibuat selepas majlis angkat sumpah dan bukan pada hari pertama sidang yang seolah-olah mempersenda kesucian dewan yang mulia itu.
“Walaupun mereka ingin membantah tentang perlantikan Speaker, mereka boleh berbuat demikian masa perbahasan. Tidak elok ‘walkout’ pada hari pertama, penggal pertama sidang Parlimen.
“Masa kami menjadi pembangkang, kami tidak pernah ‘walkout’ pada hari pertama, penggal pertama sidang Parlimen kerana kita mesti menghormati Dewan yang mulia ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut Nizar mungkin sesi Parlimen seterusnya akan bertambah kecoh kerana BN ‘belum cukup mahir’ sebagai pembangkang.
Sementara itu Ahli parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang berpendapat pembangkang hanya melakukan ‘pertunjukan’ sahaja.
Katanya, mereka keluar dewan kerana membantah perlantikan Mohamad Ariff Mohd Yusof sebagai Speaker Dewan dengan alasan konon perlantikan itu telah melangkah prosedur. Bagaimanapun, kata Lih Kang, mereka masuk semula untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
“Kalau mereka mempunyai pendirian dan prinsip yang jelas dan tegas maka mereka sepatutnya tidak mengangkat sumpah di hadapan Speaker yang mereka telah bantah perlantikannya,” katanya.
Hal itu, jelasnya, membuktikan bahawa Ahli-ahli Parlimen BN dan Pas masih kabur dalam peranan mereka sebagai pembangkang.