Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menggesa semua pihak membuang sentimen “Semenanjung” untuk mencapai perpaduan menyeluruh dalam era Malaysia Baru.
Beliau yang memegang portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial mengingatkan rakyat di Semenanjung, selain 3 kaum utama, negara juga mempunyai etnik lain di Sabah dan Sarawak.
“Mereka mungkin berbeza etnik, budaya dan agama, namun mereka jugalah yang mewujudkan kita semua di bawah satu negara bernama Malaysia.
“Saya berharap kita boleh menjadi pihak yang memberikan kerjasama kolektif untuk memacu semangat kesepaduan negara lebih jitu,” katanya dalam sesi taklimat khas di sini, hari ini.
Pengerusi Hindraf itu yang mengangkat sumpah sebagai senator sebelum dilantik ke Kabinet semalam, meminta kerjasama daripada kakitangan kementerian serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional demi masa depan lebih baik. – FMT