Sardin dalam tin, mi segera dan barangan makanan diproses lain antara barangan yang akan dikecualikan cukai di bawah pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Barangan berkenaan sebelum ini dikenakan cukai di bawah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikritik Pakatan Harapan menyebabkan kenaikan kos sara hidup.
Barangan yang sudahpun dikecualikan cukai di bawah GST seperti daging segar dan beku, tetap akan dikecualikan cukai.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata barangan lain akan tertakluk kepada cukai 5 peratus atau 10 peratus tetapi senarai tersebut belum dimuktamadkan.
Sementara itu, perkhidmatan yang akan dikenakan cukai di bawah SST termasuk: penginapan dan hotel, insurans, makanan, elektrik, kelab, perjudian dan perkhidmatan telekomunikasi. – Mkini