Anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang digantung keahlian selama dua tahun masih boleh membuat rayuan kepada parti.
Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata, penggantungan itu dibuat atas kesalahan melanggar tataterib parti semasa PRU14.
Menurutnya, tindakan itu adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik.
“Mereka yang diambil tindakan ini kebanyakannya telah buat kesalahan semasa pilihan raya yang mencemarkan imej parti,” katanya.
Sebelum ini, PKR mengumumkan pemecatan Ketua Cabang Pasir Salak, Noor Azwan Ali kerana melanggar tatatertib dan disiplon parti semasa PRU14 lalu.
PKR juga menggantung keanggotaan enam lagi, sementara seorang diberi amaran keras atas kesalahan yang sama.
Turut digantung keanggotaan selama dua tahun ialah seorang anggota AMK yang didakwa daripada Pulau Pinang.
Mengulas lanjut perkara itu, Afif berkata, tiada anggota AMK Pulau Pinang yang dikenakan hukuman sedemikian.
“Laporan itu tidak benar kerana Pulau Pinang menunjukkan disiplin yang sangat baik.
“Sebenarnya bukan anggota AMK Pulau Pinang yang digantung keahlian, tapi di Negeri Sembilan.
“Dia boleh rujuk balik dan buat rayuan. Saya sarankan dia untuk buat rayuan kepada parti,” katanya.
Jelasnya, AMK Pulau Pinang telah memberi kerjasama baik dan membantu memenangkan Pakatan Harapan semasa PRU14 lalu.