Rafizi Ramli mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR Ogos ini.
Jika penyandangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memilih untuk mempertahankan jawatan itu nanti, keputusan Rafizi itu akan menyaksikan persaingan di antara dua pemimpin PKR terbabit, yang sudah berbahang untuk beberapa tahun, akan mencapai kemuncaknya.
Setakat ini Azmin masih berahsia berhubung perancangannya, walaupun ada spekulasi mendakwa beliau mungkin akan mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden.
“Saya akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden… Saya tidak berminat dengan apa-apa jawatan kerajaan tetapi saya masih berhutang dengan anggota PKR untuk tidak berundur (daripada parti) begitu saja,” katanya kepada Malaysiakini.
Beliau yang kini merupakan naib presiden berkata akan membuat pengumuman rasmi Ahad ini.
Ditanya tentang apakah yang menyebabkannya mahu merebut kerusi nombor dua itu, rafizi menyifatkannya sebagai pertandingan antara ahli politik (career politician) dengan reformis dalam PKR.
“Dalam PKR ada ramai seperti saya, yang tidak pernah berada dalam politik atau berminat dengan politik, tetapi ‘terjaga’ selepas apa yang berlaku pada 1998 (gerakan Reformasi).
“Persaingan idea antara apa yang digelar sebagai kumpulan reformis dengan mereka yang sudah menjadi ahli politik seumur hidup mereka akan sentiasa ada.
“Jadi saya fikir tidak pelik jika (perbezaan) idea ini ditunjukkan di peringkat timbalan presiden,” katanya lagi. – Mkini