Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 (SST) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Ia dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah bersama 3 RUU lain, iaitu RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 serta RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.
Mengikut prosedur, RUU GST perlu dimansuhkan terlebih dahulu, sebelum RUU percukaian baru dibentang dalam Dewan Rakyat.
RUU Kastam (Pindaan) 2018 dibentangkan kerana Jabatan Kastam akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas prosedur kutipan cukai itu.
Bacaan kali ke-2 dan perbahasan semua RUU itu dijangka berlangsung 7 Ogos ini.
Pakatan Harapan berjanji menghapuskan GST yang diperkenalkan pada 1 April 2015 menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 dan Kementerian Kewangan menurunkan kadar GST kepada 0% mulai 1 Jun lalu.
Kerajaan mencadangkan cukai jualan pada kadar 5% dan 10% ke atas barangan terpilih, manakala 6% untuk cukai perkhidmatan bagi menggantikan 6% GST mulai 1 September nanti. – FMT