Buat pertama kali dalam sejarah Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Ir Khalid Samad berjaya meletakkan demokrasi pada tempatnya dalam pentadbiran wilayah persekutuan apabila menubuhkan Majlis Menteri yang dianggotai 11 ahli Parlimen.
Menurut beliau, majlis itu ditubuhkan bertujuan mempertingkatkan pengurusan Bandaraya Kuala Lumpur agar lebih sempurna. Ianya dianggotai ahli-ahli parlimen Kuala Lumpur bersama Datuk Bandar dan pegawai-pegawai kanan untuk membincangkan semua isu sebelum keputusan dibuat.
“Saya sendiri telah mengusahakan proses serta mempengerusikan mesyuarat majlis tersebut pada 20 Julai lalu dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari.
“Dengan cara ini, Datuk Bandar akan bertanggungjawab kepada ahli-ahli parlimen KL supaya keputusan yang terbaik akan dibuat dalam isu-isu penting yang melibatkan kesejahteraan rakyat.
“Saya mengambil langkah sedemikian untuk memastikan kepentingan rakyat sebagai faktor utama dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Mesyuarat majlis ini akan diadakan sebulan sekali atau 2 bulan sekali bergantung kepada keperluan,” kata Khalid kepada Suara pakatan daily.
Beliau menambah, terdapat keperluan untuk menginstitusikan jawatan ahli-ahli parlimen supaya suara rakyat akan diambilkira sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Oleh itu, katanya, melalui mesyuarat majlis tersebut beliau berharap akan ada lebih ketelusan dan akauntabiliti terhadap pihak berkuasa tempatan. Mesyuarat yang sama juga, kata Khalid, akan dilakukan untuk Putrajaya dan Labuan sekiranya wujud keperluan.
“Satu perkara penting yang perlu dilakukan ialah mewartakan ‘Draft KL City Plan 2020’ dalam Warta Kerajaan sebelum hujung tahun ini. Kalau tidak silap saya, pelan ini sudah ada sejak 2012 tetapi tidak diwartakan.
“Ini telah memberi kebebasan kepada setengah-setengah pihak membuat keputusan yang hanya memanfaatkan beberapa kumpulan tertentu sahaja.
“Dalam mesyuarat yang akan datang, kami akan mengambil langkah untuk memutuskan mengenai pewartaan ‘Draft KL City Plan’ itu kerana selepas pewartaan bukan senang untuk memanipulasikan isu-isu penjualan tanah. Manakala bagi tanah yang telah dijual dan pembangunan yang telah diluluskan sebelum pewartaan, kami akan mengkaji semula kes demi kes,” terang Khalid.
Beliau juga merancang beberapa perkara yang perlu dibuat oleh kementeriannya. Di antaranya adalah mengenalpasti kerja dan tanggungjawab portfolio; mengenalpasti dan mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah yang merangkumi portfolio Menteri Wilayah Persekutuan; mewujudkan satu ‘langkah halatuju masa ke depan’ untuk KL; meraih sokongan semua pekerja sektor kerajaan; mewartakan ‘Draft KL City Plan 2020’; memulakan kerja KL Plan 2030 dan melestarikan kualiti kehidupan di bandar untuk semua rakyat di bandaraya KL.