Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti nanti.
Beliau mengakui sedang mempertimbangkan untuk bertanding mana-mana jawatan lain di peringkat pusat.
Spekulasi sebelum ini kuat mengatakan beliau kemungkinan akan merebut jawatan Naib Presiden PKR.
Afif ketika ditemui berkata, beliau akan membuat pengumuman berhubung perkara itu pada Ahad nanti.
“Saya belum berhasrat untuk umum apa-apa lagi buat masa ini. Saya akui akan terlibat dalam pemilihan parti kali ini.
“Pada pemilihan ini, parti harus tampil sebagai sebuah parti yang lebih kuat. Ia bukan soal kem, tapi mengukuhkan parti,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau mahu menumpukan kepada PRK Sungai Kandis terlebih dahulu.
“Tunggu Ahad nanti. Apa yang pasti saya tidak akan mempertahankan jawatan saya sebagai Timbalan Ketua AMK,” katanya.