Pilihan raya kecil Sungai Kandis akan menjadi pilihan raya terakhir logo PKR digunakan oleh calon Pakatan Harapan, kata Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.
“Selepas ini kita akan bertanding pilihan raya menggunakan logo Pakatan Harapan yang sudah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan,” kata Xavier pada ceramah terakhir bagi pilihan raya kecil itu malam ini.
Hari mengundi akan berlangsung pada Sabtu.
“Oleh itu, pilihan raya kecil ini agak nostalgia bagi kita kerana kita tidak lagi gunakan logo dan bendera PKR,” kata Xavier.
Menteri air dan sumber asli itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai bila pakatan itu membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo PH pada pilihan raya akan datang.
Xavier turut menggesa pengundi agar teruskan menyokong pakatan itu.
Pilihan raya kecil Sungai Kandis esok bakal menyaksikan kira-kira 51,230 pengundi membuang undi. Kerusi itu ditandingi calon PKR Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional Lokman Adam dan calon bebas, K Murthy.
Sebelum pilihan raya umum tahun ini, PH pernah cuba untuk mendaftar pakatan itu dan logonya untuk bertanding sebagai sebuah pakatan.
Namun di bawah kerajaan Barisan Nasional, pakatan itu berdepan banyak masalah untuk mendapatkan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Parti Pribumi Bersatu Malaysia turut berdepan kesukaran untuk didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan.
Oleh kerana terlalu lama menunggu, PH pada sebelum pilihan raya pada Mei akan menggunakan logo dan bendera PKR untuk bertanding sebagai sebuah pakatan.
Bagaimanapun, seminggu selepas PH menawan Putrajaya, ROS segera mendaftarkan Bersatu dan Pakatan Harapan termasuk logonya.
Menggunakan satu logo, PH mencipta sejarah apabila memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen, memberikan ia majoriti mudah.
Selepas pilihan raya kecil Sungai Kandis, dua lagi pilihan raya akan menyusul di Selangor.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Balakong akan diadakan pada 18 Ogos namun Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum menetapkan tarikh bagi pilihan raya kecil Seri Setia. – TMI