Bekerjasama bagi memajukan dan meneruskan perjuangan reformasi dalam PKR dengan pemimpin berlainan “kem” bukanlah satu masalah besar, kata Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.
Akmal yang bertanding jawatan ketua pemuda PKR pada pemilihan kali ini berkata, kewujudan “kem” dalam pemilihan adalah perkara biasa, bahkan sebagai pemimpin muda, beliau mempelajari hal itu daripada pemimpin parti yang lebih kanan.
“Saya tidak nampak masalah untuk bekerjasama. Ini bukan kali pertama ia berlaku, pada pemilihan 2014 juga berlakunya pertembungan 3 penjuru.
“Ia melibatkan Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Saifuddin tidak berjaya, namun tugas dan peranannya dalam parti tetap diteruskan.
“Bahkan, Saifuddin dilantik sebagai setiausaha agung setelah parti meneliti beliau layak menggalas tugas tersebut,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Dalam pemilihan parti kali ini, jawatan timbalan presiden PKR, menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan dan naib presiden parti, Rafizi Ramli mencabar penyandangnya, iaitu Azmin yang kini diangkat sebagai menteri hal-ehwal ekonomi pentadbiran kerajaan Persekutuan baru.
Pendirian Akmal yang memberi sokongan kepada Rafizi menggantikan Azmin sebagai bukanlah rahsia lagi, malah beberapa calon lain turut bertindak serupa.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, kewujudan “pasukan” tertentu dalam PKR menjelang pemilihan bukanlah perkara aneh, sebaliknya disifatkannya sebagai perkara biasa.
Bahkan katanya, keputusan calon yang bertanding bergerak secara “berpasukan” dalam meraih undi dan sokongan daripada ahli juga bukanlah suatu perkara pelik.
“Sejak 2010 hingga 2014 telah menjadi kebiasaan calon yang bertanding bergerak bersekali (dalam pasukan), dan ia berkait soal meraih undi dan sokongan. Kalau hendak pergi jelajah seluruh negara seorang diri memang tidak mudah.
“Yang lain-lain bagaimanapun datang secara berkumpulan dan menawarkan diri masing-masing untuk ikut, namun ia bukan atas arahan,” katanya.
Menurut beliau, Rafizi dan Azmin masing-masing mempunyai personaliti berbeza walaupun mengakui lebih mengenali bekas Ahli Parlimen Pandan itu berbanding bekas menteri besar Selangor.
“Kekuatan Rafizi adalah dari segi isu yang dibawanya. Kita nampak dia berprinsip, Azmin pula politiknya berseni, boleh mengelak dan ada masanya tidak menjawab,” katanya.
Jelasnya, PKR memerlukan pemimpin yang lebih jujur dalam melakukan tugasnya dan melihat Rafizi sebaagai individu yang “tidak tahu main politik”.
“Jika tidak ambil peluang sebegini (memilih Rafizi), selamanya ahli politik akan terus ‘bermain’ berpolitik.
“Lebih mudah dan bermanfaat kepada parti jika ada yang jujur dan tidak tahu ‘main politik’,” katanya tanpa menafikan kekuatan dan pengaruh dimiliki Azmin.
Tanpa berselindung, Akmal mengakui kedudukannya sebagai Ahli Parlimen memberi sedikit kelebihan berbanding 2 calon lain yang bertanding jawatan ketua Pemuda parti itu.
Dr Afif Bahardin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya manakala seorang lagi calon ketua Pemuda PKR ialah Najwan Halimi juga seorang ADUN mewakili DUN Kota Anggerik.
“Kedudukan sebagai Ahli Parlimen sedikit sebanyak membantu perjuangan angkatan pemuda. Kita mahukan ruang yang ada ini digunakan sebaiknya.
“Ia supaya suara anak muda dapat diimbangkan bukan sahaja di pihak pembangkang, tetapi memastikan agenda anak muda diserap dalam kerajaan,” katanya.
PKR mempunyai 218 bahagian di seluruh negara. Proses pemilihannya dijadualkan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober.
Barisan kepimpinan baru parti yang dipilih hanya akan diumumkan secara rasmi pada Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung pada 16 November depan. – FMT