Kerajaan memandang serius beberapa perkara berkaitan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang menjadi isu sejak kebelakangan ini dan mahu pemimpin kerajaan bersikap sensitif tentangnya.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui isu berkaitan Mara adalah sensitif dan perlu diberi perhatian oleh PPBM dan juga Pakatan Harapan (PH).
“Banyak pandangan yang disuarakan berkenaan Mara sebelum ini. Saya akan bawa perkara ini kepada jemaah menteri supaya mereka faham betapa pentingnya bersikap sensitif terhadap pandangan orang ramai.
“Kalau nak dapat sokongan kena sensitif terhadap pendapat mereka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM malam tadi.
Terdahulu, PH dikatakan mencadangkan peranan dan agensi di bawah Mara dipecahkan kepada beberapa kementerian, sekali gus menjejaskan peranannya dalam membantu golongan Bumiputera.
Dr Mahathir juga berkata buat masa ini kerajaan mendapati langkah menaikkan gaji penjawat awam tidak sesuai.
Beliau berkata jumlah kakitangan awam kini terlalu ramai sehingga mencecah angka 1.6 juta orang menyebabkan kemampuan kerajaan menambah gaji mereka terbatas, lebih-lebih lagi dengan keadaan kewangannya yang terhad sekarang. – FMT