Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berhasrat untuk menaikkan harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebanyak 10 kali ganda, berikutan kos sara hidup yang sudah meningkat berbanding ketika perjanjian antara dua negara itu ditandatangani pada1961.
Singapura membayar 3 sen per 1,000 gelen air mentah, dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen per 1,000 gelen.
Dalam temu bualnya dengan Associated Press, Dr Mahathir berkata bekalan air mentah Johor kepada Melaka pada harga 30 sen per 1,000 gelen dianggap sebagai “amal”, dan perjanjian dengan negara luar sepatutnya berbeza.
“Bagi negara luar, kami perlu dapat lebih daripada itu,” katanya.
Perjanjian air pada masa ini yang akan tamat pada 2061, membabitkan 250 juta gelen sehari (mgd) dari sungai Johor ke Singapura, dan Johor layak menerima 5mgd air terawat dari Singapura.
Kenyataan Dr Mahathir itu dijangka mencetuskan kritikan pedas dari Singapura, yang sebelum ini berkata harga air yang dijual balik kepada Johor sudah pun disubsidikan dan di bawah harga kos merawat air.
Isu air ditimbulkan beberapa kali di Malaysia sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.
Tidak lama selepas memegang kuasa selepas kemenangan PH, Dr Mahathir dalam satu temu bual berkata urus niaga itu “terlalu mahal” dan mengarut.
Singapura memberi maklum balas dengan berkata Malaysia hilang hak untuk menyemak harga air selepas ia menolak untuk berbuat demikian pada 1987.
Beberapa minggu sebelum itu, Dr Mahathir mengumumkan untuk membatalkan projek Landasan Kereta Api Laju (HSR) dengan Singapura, atas alasan ia terlalu mahal.
Pada satu forum di Singapura semalam, ahli panel memberi amaran bahawa sikap antagonis yang ditunjukkan oleh negarawan berusia 93 tahun itu, menunjukkan ketidakpastian berkaitan hubungan dua hala antara dua negara pada masa depan. – TMI