Pakatan Harapan berjaya meningkatkan peratusan undi rakyat walaupun tanpa penyertaan Pas pada PRU14 lalu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu membuktikan bahawa rakyat yakin dengan pemerintahan pakatan khususnya dalam tempoh 10 tahun di Pulau Pinang.
“Pada PRU14, kita berjaya meraih 66.20 peratus undi sokongan di peringkat Dun dan 68.85 peratus undi sokongan di peringkat parlimen.
“Prestasi perolehan undi ini hampir sama dengan PRU13 lalu apabila Pakatan Rakyat meraih 67.5 peratus undi sokongan di Dun dan dan 67.78 peratus di peringkat parlimen.
“Kita perlu ingat pada ketika itu Pas masih merupakan rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat.
“Jikalau diambil keluar undi yang diraih oleh Pas, DAP dan PKR secara keseluruhannya meraih 61.35 peratus undi sokongan di Dun,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ia bermakna undi sokongan kepada Pakatan Harapan meningkat sebanyak 5.85 peratus di peringkat Dun dan 6.88 peratus di peringkat parlimen.
“Walaupun saya tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, tetapi saya tetap sayang negeri ini dan akan kerap pulang.
“Sebagai Menteri Kewangan, saya akan berusaha untuk memudah cara pembangunan lestari di Pulau Pinang, khususnya dalam mengatasi masalah kesesakan lalu lintas,” katanya
Pada perkembangan lain, beliau mengesahkan peruntukan sebanyak RM150 juta akan diluluskan untuk menyambung pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang.