Kerajaan Pulau Pinang komited akan merealisasikan janji manifesto Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu yang masih belum terlaksana.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beberapa janji masih dalam rancangan dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Kerajaan Pulau Pinang setakat ini telah berjaya melaksanakan hampir keseluruhan janji yang terdiri daripada 12 teras utama.
“Bagi janji yang belum ditunaikan, ia masih dalam rancangan dan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Adun Penaga, Mohd Yusni Mohd Piah.
Adun tunggal Pas itu mempersoalkan sejauh mana janji manifesto Pakatan Rakyat yang telah dilaksana dan belum.
Bagaimanapun, Pas bukan lagi sebahagian daripada gabungan pakatan itu setelah terbubarnya Pakatan Rakyat.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat untuk mencari penyelesaian terhadap pelaksanaan yang berada bawah bidang kuasa kerajaan pusat.