Hayat Barisan Nasional (BN) di Sabah akan tamat apabila Gabungan Bersatu Sabah (GBS) didaftarkan secara rasmi dalam tempoh masa 10 hari ini. Gabungan itu menyaksikan perikatan parti pembangkang termasuk Umno.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan berkata entiti baru itu akan menjadi identiti baru kumpulan pembangkang Sabah.
“Sekarang ini, kita sedang memuktamadkan syarat-syarat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) seperti perlembagaan dan struktur.
“Setakat ini, kita sudah bersetuju parti-parti yang akan menyertai gabungan ini ialah STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Umno,” katanya di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Beliau berkata parti tempatan lain, seperti Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Pembangunan Rakyat Sabah (PRRS) dari Gabungan Sabah juga dijangka akan menyertai gabungan itu.
Ketua Umno Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor berkata Umno peringkat kebangsaan masih bersama BN tetapi BN bukan lagi entiti yang dikenali di Sabah.
“Sekarang, kita ada gabungan baru iaitu GBS. BN tidak ada lagi di Sabah.
“Mulai saat ini, Umno Sabah akan berada dalam gabungan baru bersama PBS, STAR dan parti-parti tempatan lain,” katanya.
BN Sabah, yang memerintah negeri itu sejak 1990-an, musnah selepas kekalahannya pada 9 Mei lepas, dan kerajaan ditubuhkan oleh perikatan Parti Warisan Sabah-Pakatan Harapan-Upko.
Ditanya sama ada gabungan baru itu akan bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan oleh bekas parti-parti komponen BN, Hajiji berkata perkara itu belum dibincangkan.
“Kita akan melakukannya satu persatu dan pastikan GBS didaftarkan terlebih dahulu.
“Kita akan tengok selepas rasmi pendaftaran itu. Tentang parti mana yang akan mengetuai GBS, ia akan diselesaikan sesama kami nanti,” katanya.
Setiausaha Umno Sabah Datuk Masidi Manjun menjelaskan GBS pada awalnya dicadangkan sebagai satu perikatan antara wakil-wakil rakyat bukan Parti Warisan Sabah-PH.
“Tetapi kita pertimbangkan juga mungkin satu hari nanti, ada keperluan untuk merasmikan perikatan ini sebagai satu gabungan politik berdaftar.
“Ketika itu yang bersetuju menyertai kami termasuk Umno, PBS, Star dan Adun bebas seperti Saddiq Abdul Rahman dan Bobby Suan,” katanya.
Idea GBS ini diutarakan Presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan pada Mei selepas parti itu meninggalkan BN susulan kekalahan gabungan itu.
Pairin pada awalnya menjangkakan semua ahli Umno Sabah akan menyertai PBS.
Bagaimanapun, FMT difahamkan beberapa pemimpin Umno dijangka menyertai parti pembangkang lain untuk menenangkan ahli yang mungkin tidak selesa dengan idea menyertai PBS atau STAR. – FMT