Calon PKR, Halimey Abu Bakar akan bertanding di pilihan raya kecil Seri Setia menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) buat julung kali pada 8 September ini, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Presiden PH membuat pengumuman itu dalam satu majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad di Desa Mentari, malam ini.
Timbalan perdana menteri berkata, Halimey ialah anak tempatan dan bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang bergiat aktif dalam PKR sejak 1999 yang dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional ketika itu.
Sementara itu, Nik Nazmi mengakui sukar untuk PH mendapat majoriti 19,372 undi yang diraih penyandang, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
“(Susah mendapat) majoriti besar yang diperoleh sewaktu pilihan raya sebelum ini, tidak tolak kemungkinan bukan semua penyokong PAS mengundi PAS, tetapi (ada yang sokong) calon PH.”
Kerusi itu kosong selepas Shaharuddin meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos lalu.
Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, selepas mengalahkan calon BN, Datuk Yusoff HM Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).
PRK Seri Setia akan diadakan serentak dengan PRK Balakong, di mana hari penamaan calon berlangsung Sabtu ini dan hari mengundi pada 8 September nanti. – FMT