Tarikh 17 Ogos 2018 genap 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia. Adakah 10 janji telah dikotakan dalam 100 hari ini? adakah prestasi kerajaan PH dilihat hambar atau gagal?
Bagi Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, PH telah melakukan yang terbaik berdasarkan usaha setiap menteri yang dilantik. Menurutnya, bukan mudah untuk mentadbir negara dalam keadaan PH hanya mempunyai beberapa orang sahaja yang berpengalaman memegang kuasa di peringkat persekutuan.
“Pandangan saya prestasi Pakatan Harapan memberangsangkan memandangkan hanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja dalam yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran Kerajaan Pusat.
“Justeru, walaupun menteri-menteri kita semuanya adalah orang baru mengambil-alih kuasa maklumbalas atau ‘feedback’ dari orang ramai menunjukkan menteri-menteri Pakatan telah melakukan yang terbaik kerana kita juga sedang berdepan dengan kekangan kewangan yang amat berat,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Kata Mahfuz lagi, walaupun banyak janji yang belum ditunaikan namun apa yang penting ialah pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan telah berjaya dilakukan.
Selain itu, caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan pemberian kewarganegaraan kepada ramai wargamas India yang telah lama menetap di Malaysia adalah beberapa langkah bagus untuk kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Sumber Manusia itu juga berharap semoga perkara-perkara yang dijanjikan oleh PH akan berjaya dilaksanakan pada tahun hadapan apabila situasi kewangan beransur-ansur pulih
Bagi Chan Ming Kai, Ahli Parlimen Alor Setar pula, faktor paling penting yang patut diketahui oleh rakyat Malaysia ialah dalam kabinet PH semua pihak dapat bekerjasama walaupun berbeza kaum dan agama dan kuasa dibahagi sama rata diantara semua parti komponen Pakatan.
“Walaupun pemansuhan GST dilihat sebagai perkara paling ketara dilakukan oleh Kerajaan PH, langkah pengurangan pekerja asing juga penting supaya rakyat Malaysia akan mendapat lebih peluang pekerjaan,” katanya.
Chan berpendapat, kerajaan PH pada keseluruhannya dapat memupuk semangat harmoni dan muhibbah diantara kaum dengan penghapusan Biro Tata Negara yang dilakukan dalam 100 hari.
“Malaysia mulai 10 Mei 2018 boleh maju dan mara ke depan. Masa depan untuk semua rakyat Malaysia adalah cerah dan kita patut berterima-kasih bahawa kita sedang mengorak langkah ke arah Wawasan 2020 dengan penuh yakin,” tambahnya.