Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip yang dengan China dibatalkan.
Perdana menteri berkata Presiden China Xi Jinping akur dengan pendirian Malaysia iaitu projek-projek berkenaan terpaksa dibatalkan disebabkan kedudukan fiskal kerajaan.
Menurut Dr Mahathir, rundingan mengenai pampasan susulan pembatalan itu akan diuruskan oleh pegawai kerajaan dan syarikat yang terlibat.
“China memahami masalah kita (kerajaan Malaysia) dan telah bersetuju,” kata Dr Mahathir seperti dipetik laporan berita hari ini.
Kontraktor ECRL ialah sebuah syarikat China, Communications Construction Co Ltd.
Sekiranya laluan rel itu dibina, ia akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan.
Menerusi pelbagai anggaran yang dibuat, ECRL boleh dibina dengan kos kurang daripada RM40 bilion. Bagaimanapun, kos itu meningkat kepada RM60 bilion hingga RM70 bilion.
Sementara itu kontrak dua projek saluran paip bernilai RM9.4 bilion telah dianugerahkan oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) milik Kementerian Kewangan kepada Biro Pipeline Petroleum China (CPPB).
SSER ditubuhkan pada 19 Mei 2016 dengan tujuan khusus untuk melaksanakan projek MPP dan TSGP. Kedua-dua projek berkenaan diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016. – TMI