Walaupun diramal menang mudah namun Pakatan Harapan tidak boleh memandang enteng kekuatan Pas bersama jentera BN di dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Ir Khalid Samad, PRK itu akan menjadi ujian kekuatan Pas yang meletakkan calon bekas Exco Selangor Dr Halimah Ali bersama janji dan agenda tertentu bagi menarik pengundi.
Bagaimanapun, katanya, PH tetap mempunyai kelebihan turun sebagai kerajaan negeri dan persekutuan. Kata Khalid, banyak perkara yang membelenggu pengundi seperti kemudahan awam, insfrastruktur, program pendidikan dan sebagainya boleh diselesaikan jika pengundi memilih PH.
“Peluang memang baik untuk PH menang kerusi ini. Peratusan keluar mengundi mungkin kurang dari PRU14 tetapi yang penting kita mesti beritahu pengundi pelan pembangungan untuk kawasan itu.
“Yang wajib diketengahkan dan diberi tumpuan kepada para pengundi ialah sekarang ada kesinambungan dan kerjasama baik di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
“Oleh yang demikian, segala yang dirancangkan untuk kesejahteraan penduduk Seri Setia akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Namun menurut Khalid lagi, Pas dan BN akan turun berkempen dengan mempersoalkan janji 100 hari PH yang tidak tertunai. Isu berbisa itu, kata Ahli Parlimen Shah Alam ini perlulah dijelaskan oleh jurukempen PH dengan baik. Apatah lagi rakyat Selangor berpengalaman menyaksikan hanya 2 janji berjaya dilaksanakan selepas 3 bulan menang pilihan raya umum 2008 lalu. Hari ini, katanya lebih 30 skim kebajikan telah terlaksana.
“Yang patut diberitahu kepada pengundi ialah kerajaan PH sedang mengalami kekangan kewangan yang amat parah. Justeru itu, harga minyak tidak boleh diturunkan dan subsidi untuk barang keperluan asas masih belum dalam dikembalikan.
“Inilah juga sebab projek-projek mega dibatalkan, semuanya adalah kerana masalah kewangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran yang lama,” jelas Pengarah Komunikasi Amanah itu yang mahu rakyat faham dan memberi lebih masa untuk PH mengotakan semua janji yang dibuat.
Kerusi DUN Seri Setia kosong apabila Dr. Shaharuddin Badaruddin dari PKR meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat penyakit kanser. Beliau menang kerusi tersebut dalam Pilhanraya Umum Ke-14 9 Mei lalu dengan majoriti 19,372 undi menewaskan Yusoff HM Haniff dari BN yang memperolehi 9,878 undi dan Mohd Ghazali Daud dari PAS 4,563 undi
Kali ini Seri Setia menyaksikan pertarungan satu-lawan-satu di antara Halimey Abu Bakar dari PH menentang Dr. Halimah Ali dari Pas yang berumur 58 tahun.
Tarikh mengundi adalah pada 8 September 2018.