Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Najib Razak boleh dibicarakan “esok” jika ada cara untuk melakukannya.
Pada perhimpunan pertama sejak menjadi perdana menteri buat kali kedua pada 10 Mei lalu, Dr Mahathir menjelaskan kepada kira-kira 4,000 rakyat Kedah di Alor Setar pada malam ini, sebab kerajaan mengambil masa begitu lama untuk mengheret Najib ke mahkamah.
“Dulu kita boleh sebut, tentang Najib curi duit… saya panggil dia penyangak berapa kali,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata Najib tidak berani mencabarnya berhubung dakwaan tersebut.
“Dia tak berani saman saya, pasal dia buat (curi duit).
“Tapi sekarang ini di mahkamah, kita nak buat tuduhan terhadap dia kita perlu bukti. Kita perlu surat yang menunjuk bahawa dia benar-benar ambil duit… Tapi nak bicara lambat lagi. Saya tak tahulah kenapa lambat. Saya ingat esok (bicara) eloklah,” katanya pada pelancaran Jelajah Malaysia Baru malam ini.
Beliau berkata perbicaraan itu mengambil masa yang lama dan Najib kerap melakukan perjalanan menggunakan khidmat pengiring trafik.
“Kita kena bagi pada dia ‘escort’ polis dan macam-macam. Seronok bukan main dia. Tapi tak tahulah nak seronok berapa lama,” katanya sambil disambut gelak ketawa hadirin.
Dr Mahathir berkata ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho atau Jho Low turut didakwa dan notis merah Interpol sudah dikeluarkan terhadapnya berhubung dakwaan menjadi dalang di sebalik skandal 1Malaysia Development Bhd.
“Dia (Jho Low) lari. Kita nak tengok takat mana dia nak lari. Dia kata konon dia tak boleh percaya kepada hakim-hakim kita, (tapi) kita pun tak boleh percaya kepada dia (Jho Low), dia penyangak,” katanya.
Beliau berkata lebih ramai rakan subahat Najib akan didakwa di mahkamah.
“Tak lama lagi kita akan dakwa ramai lagi yang balas (curi) duit masa Najib,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau menerima gaji sebanyak RM20,000 sebulan sebagai perdana menteri tetapi sebahagian pegawai Najib memperoleh gaji 10 ganda daripada apa yang diterimanya.
“Pegawai kerajaan Najib, gaji RM200,000 sebulan. Daripada mana duit ini mai (datang)? Tentu duit curi. Ini sebabnya orang semacam ini juga akan didakwa di mahkamah kerana mencuri duit.
“Zaman Najib ini bila dia jadi pencuri, orang bawah dia semua jadi pencuri,” katanya.
Beliau berkata ia adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan dalam tempoh tiga bulan pertama mentadbir negara.
Kerajaan PH akan memulakan siri jelajah bagi menerangkan kepada pengundi sebab mereka gagal menunaikan sebahagian daripada 10 janji manifesto dalam tempoh 100 hari.
Selepas Kedah, PH akan meneruskan jelajah ke Sabah.
Turut hadir adalah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Ahmad Kassim dan beberapa exco Kerajaan Negeri Kedah – TMI