Pulau Pinang mencatatkan hutang persekutuan paling kecil berbanding negeri lain dalam tempoh 10 tahun pentadbiran kerajaan pakatan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu membuktikan pimpinan Pakatan Harapan berjaya mentadbir dengan penuh tertib dan cekap.
“Ini satu pencapaian yang sangat luar biasa. Pulau Pinang hanya berhutang RM60 juta berbanding negeri lain yang berhutang dengan kerajaan persekutuan RM17 bilion.
“Kita kekal dengan negeri yang mencatatkan pelaburan asing nombor dua terbaik di Malaysia,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian karnival I Love Malaysia di Sunshine Square, di sini, semalam.
Menurutnya, Pulau Pinang juga merupakan antara negeri yang mencipta banyak peluang pekerjaan dan model pentadbiran yang cekap.
Pada perkembangan lain, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu mengesahkan tidak semua barangan keperluan pengguna akan dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Jelasnya, ada sebahagian barang dikenakan sifat cukai, 5 peratus dan 10 peratus SST.