Orang Melayu tidak akan dipinggirkan kerana tidak ada kerajaan yang dengan sengaja mahu membangkitkan kemarahan kaum majoriti itu, kata penasihat bekas penjawat awam G25 Mohd Sheriff Mohd Kassim.
Beliau berkata tidak ada parti politik yang mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu ekoran bimbang kehilangan undi kaum itu pada pilihan raya umum seterusnya.
“Realitinya, tidak ada parti politik yang mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan dasar tidak popular dan berisiko kehilangan sokongan orang Melayu pada pilihan raya seterusnya,” katanya pada forum bertajuk “Malaysia Baru – 61 years after Merdeka, do ethnicity and religion still matter?”.
Bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan itu berkata jika institusi negara kukuh, orang Melayu tidak harus bimbang dipinggirkan.
“Apabila institusi kukuh, etnik dan agama bukan lagi perkara yang menjadi kebimbangan.
“Perlembagaan memelihara bagi memastikan sifat asas negara sebagai kerajaan yang mengamalkan mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan terus kekal.”
Oleh kerana jumlah penduduk kaum Melayu semakin bertambah, maka masyarakat itu tidak harus bimbang “digulingkan”, tambahnya.
“Malah, oleh kerana orang Melayu menjadi bangsa majoriti dan mempunyai kadar kelahiran yang tinggi, kedudukan mereka dalam perlembagaan tidak akan berubah.” – TMI