Pakatan Harapan tidak pernah membincangkan kedudukan Datuk Johari Abdul sekiranya beliau memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani.
Ketua Cabang PKR Sungai Petani, Dr Robert Ling berkata, malah tiada komplot untuk merampas jawatan Menteri Besar Kedah yang sedang disandang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Beberapa hari lalu, satu kenyataan mengejutkan dibuat oleh Ahli Parlimen Sungai Petani mengatakan beliau boleh melakukan perkara yang hebat di Kedah jika Anwar bertanding di Sungai Petani.
“Kenyataan itu ditafsirkan seolah-olah ada komplot untuk merampas kedudukan menteri besar yang sedang diterajui pimpinan Bersatu.
“Saya memandang serius perkara ini dan menegaskan bahawa kenyataan itu adalah bersifat peribadi dan tidak membabitkan PKR,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, PKR Kedah tidak pernah membincangkan kedudukan Johari sebagai Menteri Besar yang baharu jika Anwar bertanding di Parlimen Sungai Petani.
“Saya sangat mengalu-alukan bakal Presiden PKR bertanding di Sungai Petani dalam persediaan untuk beliau diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Namun ia tidak perlu sehingga Johari dinobatkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz.
“Konsensus Pakatan Harapan jelas telah bersetuju dan menyokong bahawa Mukhriz adalah menteri besar dan beliau diberi ruang untuk menguruskan negeri dengan sebaik mungkin,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan Sungai Petani itu turur berharap supaya tiada lagi kenyataan yang menjurus kepada persespi negatif rakyat dan perpecahan kepada Pakatan Harapan.
“Mandat yang telah diberi oleh rakyat pasca PRU14 perlu dipikul sebaik mungkin supaya kepercayaan kepada Pakatan Harapan tidak tergugat,” katanya