Seorang bekas timbalan menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) beranggapan sudah tiba masanya MCA mengambil langkah berani dan keluar daripada gabungan itu.
Bekas timbalan menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Dr Ng Yen Yen berkata sudah tiba masa untuk MCA “pulihkan kembali” parti itu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk BN.
“Ini pandangan peribadi saya.
“MCA baru patut bergerak ke hadapan dan hadapi cabaran baru, tidak harus dikekang oleh pihak lain,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-61, yang kali pertama diraikan bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Ng berkata MCA sememangnya memerlukan pemimpin “berdarah baru” untuk memimpin parti itu ke arah yang lebih baik.
Katanya, perubahan dalam barisan kepimpinan MCA perlu dilakukan dengan memberi peluang kepada ahli yang belum pernah memegang sebarang jawatan tertinggi di dalam parti itu.
“Darah baru tidak semestinya ahli baru, ia termasuk juga yang tidak pernah ada peluang untuk berada di barisan hadapan.
“Latih mereka supaya bergerak ke hadapan.
“Dalam politik tidak semuanya kekal untuk selamanya, ada pasang surutnya, jadi kita kena terus perbaiki,” katanya.
MCA hanya memperoleh 1 kerusi Parlimen iaitu di Ayer Hitam yang dimenangi oleh Datuk Seri Wee Ka Siong.
Parti itu bagaimanapun masih kekal bersama BN walaupun mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
Kini, MCA bakal mencatat sejarah apabila bakal bertanding di PRK DUN Balakong dengan menggunakan logo parti sendiri buat pertama kalinya.
Dua hari lalu Pengerusi DAP, Tan Kok Wai turut menyarankan agar MCA keluar BN sekiranya nasib tidak menyebelahi mereka pada PRK Balakong bulan depan dan menyertai PH.
Katanya, PH bersedia menimbang MCA sebagai parti komponen yang baharu dengan syarat parti berasaskan kaum Tionghoa itu bersetuju dengan prinsip PH.
Mengulas lanjut, Ng memberitahu kehadirannya pada hari ini adalah atas kapasiti sendiri, dan bukannya parti.
Malah, beliau turut meluahkan keyakinannya terhadap pentadbiran kerajaan PH yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya rasa yakin dengan barisan Kabinet Tun Mahathir, saya tahu mereka ikhlas dan mempunyai niat untuk bawa negara ke arah yang lebih baik.
“Jadi hari ini saya datang dengan status ‘Tan Sri’ saya, orang tua dan muda juga ada harapan dengan kerajaan baru hari ini.” – FMT