Kurang dari 60 hari – itu tempoh yang ada sebelum orang ramai dapat melihat susuk Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen sebagai “yang berhormat”.
Itu anggaran masa yang dibayangkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) dan PKR itu dalam temu bual yang disiarkan hari ini.
Anwar memang diketahui bakal menjadi anggota parlimen dan bersiap sedia untuk dilantik menjadi perdana menteri kelapan, namun belum ada tempoh waktu atau jadual yang jelas untuk beliau meneruskan langkah politiknya.
Namun melalui temu bual disiarkan BH Online hari ini Anwar memberikan satu lagi bayangan yang lebih jelas – mungkin Oktober ini.
Ditanya mengenai kemunculan semula di parlimen, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ia akan dibuat melalui pilihan raya kecil.
Maknanya, akan dibuat pengosongan kerusi tertentu dan beliau akan bertanding di kawasan berkenaan. Cuma di mana – itu yang belum diputuskan.
“Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum yang saya akan kembali ke parlimen, insya-Allah jika menang (PRK) sebelum hujung tahun… mungkin Oktober,” katanya dipetik portal itu.
Mahu sama-sama selesa
Setakat ini sudah ada beberapa anggota parlimen menyatakan kesediaan mereka berundur bagi memberi laluan buat Anwar.
Antaranya ialah Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) dan William Leong (Selayang).
Turut disebut-sebut ialah anggota parlimen bebas dari Perak.
Bagaimanapun anggota parlimen terbabit – Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) menafikannya.
Ketika ini isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili kerusi parlimen Pandan dan anak mereka Nurul Izzah Anwar, bertanding – dan menang – di Permatang Pauh.
Menurut Anwar beliau sedang “mempertimbangkan” satu kerusi yang ditawarkan kepadanya tetapi belum membuat keputusan muktamad kerana faktor tokoh yang sedang mewakili kawasan berkenaan.
“Saya ada pertimbangkan satu kerusi ini, beliau menawarkan kepada saya tetapi apabila dilihat prestasi, beliau seorang anggota parlimen yang sangat baik… saya rasa rugi pula. Jadi semuanya sedang dipertimbangkan,” katanya.
Pada masa sama Anwar menjelaskan kerusi yang ingin ditandinginya perlulah tempat yang selesa, sama ada untuk beliau atau pengundi di situ.
“Ini soal untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Kita perlukan keselesaan itu, seperti di Permatang Pauh kita rasa macam adik beradik, boleh melawak begitu dan begini dan saya sangat yakin dengan mereka begitu juga mereka (pengundi).
“Hendak mencapai tahap sebegitu tidak mudah kerana ia mengambil masa,” katanya.
Sementara itu Anwar berkata beliau tidak akan mengganggu Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir bagi membawa negara ke landasan yang betul.
“Sekarang Dr Mahathir ada tugas besar disebabkan semua masalah yang melanda negara. Saya mendoakan beliau berjaya,” katanya. – Mkini