Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berpendapat perayaan dan mood rakyat menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2018 lebih meriah daripada tahun-tahun sebelumnya kerana negara telah bebas dari penjajahan, sama ada Inggeris atau pun penindasan kerajaan kleptokrasi.
“Saya berpendapat tarikh 31 Ogos 2018 sangat bermakna disebabkan 9 Mei 2018 (kekahalan BN).
“Berbanding dengan sambutan kemerdekaan tahun-tahun lalu yang agak suram, tahun ini rakyat benar-benar bersedia untuk menyambut tarikh 31 Ogos dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan menunjukkan semangat muhibbah yang jelas dalam kalangan semua golongan masyarakat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Bagi Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim pula, sambutan kali ini amat bermakna kerana negara berada dalam Malaysia baharu yang lebih bebas dan makmur.
“Tahun ini Hari Merdeka disambut dengan lebih meriah berbanding beberapa tahun lalu memandangkan kita telah memasuki era Malaysia Baru sejak 9 Mei 2018.
“Inilah kali kedua rakyat Malaysia dibebaskan dari belenggu penjajah sejak 1957,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu.
Beliau menegaskan, situasi 31 Ogos ini saling tidak tumpah seperti tahun 1957 di mana semua bangsa boleh menyambut kemerdekaan dengan penuh gembira kerana mereka dibebaskan dari kezaliman BN oleh Pakatan Harapan.
“Saya nampak di merata-rata tempat di Selangor, suasana dan ‘mood’ rakyat adalah ceria untuk sambutan Merdeka. Ini menunjukkan rakyat gembira dengan era Malaysia Baru,” katanya kepada Suara pakatan daily.