Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang baru bagi membendung kontrak ‘Ali Baba’.
Kontrak ‘Ali Baba’ merujuk kepada kontrak bumiputera yang dianugerahkan kepada syarikat bumiputera namun kemudian dijual kepada bukan bumiputera untuk mendapat keuntungan atas angin.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata menteri kabinet mengambil maklum dengan amalan berkenaan.
“Prinsipnya jelas. Sebarang pihak atau individu yang menjual atau memindahkan kontrak yang dianugerahkan kepada mereka kepada pihak ketiga akan dihentikan serta-merta,” katanya pada sidang media selepas Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Azmin berkata kerajaan kini membincangkan isu berkenaan dengan pihak penguatkuasa dan sedang mempertimbangkan pelaksanaan akta Sabotaj Ekonomi, cadangan yang dikemukakan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed di kongres itu hari ini.
Azmin berkata tindakan itu akan diambil bukan saja ke atas penjual kontrak tapi juga pembeli kerana mereka dianggap mencabar perlembagaan yang menjamin struktur ekonomi untuk bumiputera dan semua rakyat Malaysia.
“Kita akan bawa perkara ini ke parlimen untuk dibincangkan,” katanya. – Mkini