Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut persetujuan yang dicapai dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini.
Kata perdana menteri, beliau akur dengan persetujuan bahawa tempoh yang disebut untuknya memegang jawatan itu ialah dua tahun.
Dr Mahathir berkata demikian semasa menjawab soalan pada sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Brunei Darussalam, di sebuah hotel di Bandar Seri Begawan malam tadi.
Mengenai kebimbangan sekiranya sejarah akan berulang apabila beliau tersilap memilih penggantinya untuk menerajui negara, Dr Mahathir berkata sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan penggantinya, maka rakyat boleh membuat pendirian pada pilihan raya umum (PRU).
Menurut, sebelum ini banyak usaha dilakukan seperti demonstrasi, failkan usul tidak percaya, laporan polis serta deklarasi rakyat menolak kepimpinan kerajaan namun semuanya itu tidak berjaya sehingga ketetapan dibuat rakyat dalam PRU.
Dr Mahathir seterusnya menafikan tohmahan yang sering dilemparkan, kononnya beliau ialah ultra Melayu.
Katanya gelaran itu sama seperti label yang pernah dikenakan kepadanya iaitu Mahafiraun, Mahazalim dan sebagainya dan ia semata-mata diberikan oleh musuh politik.
Menurut perdana menteri beliau mengutamakan negara supaya tidak wujud jurang perbezaan begitu ketara antara penduduk pelbagai kaum sehingga boleh mengundang permusuhan dan rusuhan.
Justeru, kata Dr Mahathir HARAPAN sedang berusaha membela nasib dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum.
Bagaimanapun, katanya, isu perkauman akan tetap wujud dalam sesebuah negara berbilang bangsa namun usaha yang dilakukan kerajaan baru tidak akan menjurus kepada ketegangan atau permusuhan.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir memberitahu projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan tetap dilaksanakan namun mengambil sedikit masa untuk disiapkan kerana komitmen kewangan lain yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
Selain projek pembangunan, perdana menteri berkata jentera kerajaan juga ketika ini perlu diperbaiki kerana banyak kerosakan dalam pentadbiran negara berlaku sebelum ini.
Justeru, beliau menyeru rakyat supaya bersabar untuk melihat hasil pembaharuan yang sedang diusahakan oleh kerajaan HARAPAN.
Menjawab soalan hadirin mengenai harapannya sebelum berundur, Dr Mahathir berkata beliau mahu mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia yang pernah digelar Harimau Asia dan menjadi kebanggaan rakyat.
“Saya mahu sebuah kerajaan yang demokratik dan bukan kleptokratik,” katanya.
Katanya, beliau ingin melihat wujudnya rule of law (kedaulatan undang-undang) bagi melindungi rakyat serta menjadi sebuah negara maju sebagaimana yang menjadi sasaran dalam Wawasan 2020 sebelum ini. – Mkini