Bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan, apatah lagi mengekalkan kebebasan daripada kuasa luar dan mentadbir negara yang penuh dengan kepelbagaian bangsanya mengikut acuan sendiri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keunikan negara bukan terletak pada sejarah dan tempat pelancongannya sahaja, tetapi kemampuan rakyat yang berbilang kaum hidup bersama di bawah satu bumbung dan saling hormat menghormati.
Menurutnya, sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun ini amat bermakna apabila rakyat Malaysia telah melakar sejarah dengan menyingkirkan kerajaan BN buat pertama kalinya dalam sejak 1957.
“Bertahun-tahun negara ditadbir dengan kleptokrat, kewangan negara dilanda hutang dan imej negara tercalar di mata dunia.
“Tetapi hari ini, kita semua boleh mendabik dada dengan penuh rasa bangga dan harapan dengan Malaysia baru.
“PRU14 menyaksikan satu kuasa perpaduan yang cukup hebat. Rakyat Malaysia bangkit dengan keberanian,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, ramai yang berpusu-pusu dan berpenat lelah mengambil segala cara untuk memastikan undi mereka masuk ke dalam peti undi.
“Inilah semangat patriotisme yang benar, bukan setakat melaungkan merdeka. Pulau Pinang yang telah bertukar tangan kepada Pakatan Harapan sejak 10 tahun lalu telah mengacapi pelbagai kemajuan dan pengiktirafan.
“Marilah kita menggembleng tenaga dalam memakmurkan negeri tercinta ini, sekaligus muncul negeri modal untuk negara,” katanya.