Rakyat boleh terus membuat kritikan terhadap kerajaan Pakatan Harapan jika ada ketidakpuasan dalam pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kritikan itu sekurangnya dapat membantu Pakatan Harapan mentadbir dengan lebih baik dan cemerlang.
“Mari kita teruskan kritikan membina dan ingatkan kepada kerajaan apa yang harus diperbaiki,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, tidak salah jika rakyat mahu membuat kritikan kepada kerajaan supaya nasib dan masalah mereka didengari.
“Insya-Allah, saya akan lakukan tanggungjawab saya,” katanya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan orang ramai mengenai pelaksanaan SST.
SST mula dikuatkuasakan pada 1 September setelah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan BN dimansuhkan.