Semua individu yang menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan dapat terlepas daripada didakwa, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin.
Katanya, kerajaan sudah mengetahui semua jejak wang tersebut termasuklah individu yang menerima wang daripada dana syarikat pelaburan strategik negara itu.
“Untuk kita (kerajaan), money trail (jejak wang) 1MDB sudah cukup. Kita tahu siapa dapat dan sebagainya. Itu mereka tak boleh lari,” katanya dalam satu wawancara disiarkan TV3 malam tadi.
Bagaimanapun, tindakan pendakwaan mengambil masa kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berada pada tahap 60%, katanya lagi.
Tambahnya siasatan terpaksa dilakukan semula kerana beberapa maklumat baharu muncul ekoran penemuan beberapa fail sulit berkaitan 1MDB yang disembunyikan sebelum ini.
Malah, beliau masih menerima pelbagai maklumat baharu terutamanya membabitkan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dalam 1MDB.
“Jho Low katanya tak terbabit, tapi itu cerita dia. Kita ada keterangan, kita ada bukti. Sekarang, selepas Pakatan Harapan ambil alih, mereka yang terbabit sanggup jadi saksi dan cerita apa yang berlaku.
“Apa pun, semua kenyataan di sini sudah ambil, cuma (kenyataan) dari luar negara saja (belum diambil). Hanya tunggu masa (untuk diselesaikan),” katanya lagi.
Tiga individu didakwa setakat ini berhubung kes penyewengan dana 1MDB.
Jutawan Jho Low dan bapanya, Low Hock Peng, didakwa tanpa kehadiran di mahkamah pada 24 Ogos lalu atas tuduhan berkaitan dana dicuri daripada syarikat 1MDB.
Jho Low didakwa dengan lapan tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Tiga tuduhan tersebut bagi kesalahan menerima wang dan lima lagi untuk memindahkan wang.
Ia melibatkan sejumlah AS$261 juta bagi penerimaan wang dan AS$196 juta untuk pemindahan wang.
Kebanyakan wang tunai tersebut didakwa digunaka untuk membeli kapal pesiar mewah Equanimity berharga AS$250 juta yang dirampas kerajaan Malaysia dua minggu lalu.
Hock Peng pula menghapi satu tuduhan memindahkan wang berjumlah AS$56 juta.
Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi tujuh tuduhan.
Tiga tuduhan pengubahan wang haram dikemukakan ke atasnya pada 8 Ogos, di samping empat tuduhan pecah amanah jenayah dan salah satu penyalahgunaan kuasa pada 4 Julai.
Sekiranya didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda sehingga maksimum RM5 juta, bagi setiap pertuduhan.
Jika didapati bersalah atas semua tuduhan, bekas presiden Umno itu boleh dipenjarakan sehingga 125 tahun. – TMI