Bangi : Ramai ibubapa penjaga yang telah menghantar anak-anak mereka ke Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) gembira apabila anak-anak mereka dapat memberi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr Shafie Osman berkata, sudah tiga tahun (PTRS) yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) telah memberi kesan positif kepada semua pelajar. Tahun lalu sahaja tiga orang pelajar memperolehi 9A di DUN Bangi
“Setiap tahun keputusan yang diperolehi semakin meningkat, menjadi kebangaan kepada kami dan keluarga pelajar sendiri. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan PR dapat membantu meringankan keluarga fakir miskin, OKU yang tidak mampu menghantar anak mereka ke tuisyen luar yang menelan belanja yang banyak.
Tetapi PTRS yang dianjurkan oleh kerajaan PR adalah percuma”.
“Pada dasarnya bimbingan yang diberi terhadap pelajar-pelajar di kawasan semua DUN di Selangor memberi kesan positif apabila ramai ibubapa telah menghantar anak-anak mereka di sini, katanya ketika merasmikan program Pecutan Akhir SPM di Auditorium Utama German Malaysian Institute (GMI), Bangi,” katanya.
Jelasnya lagi, bagi membantu semua pelajar yakin dalam menghadapi peperiksaan nanti kita sediakan juga program motivasi pelajar yang dikendalikan E-Class Training Center (M) Sdn, Bhd. Program ini akan dibantu oleh semua guru berpengalaman luas yang pernah memeriksa kertas-kertas soalan di dalam bidang masing-masing.
Program ini mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali, KPMI DUN Semenyih, Dusun Tua, Kajang, Bangi dan Balakong.
“Saya mengharapkan semua pelajar yang mengikuti program ini akan memberi tumpuan sebaiknya kerana mereka akan diberi pendedahan mengenai kaedah-kaedah pembelajaran, terutama persediaan yang perlu dibuat pada peringkat akhir menjelang menghadapi peperiksaan,”katanya.
Menurutnya, penguasaan semua pelajar terhadap bidang pelajaran yang dipelajari tidak menjamin pelajar mencapai keputusan yang baik. Menguasai bidang pelajaran, memahami soalan dan kaedah menjawab soalan menepati apa yang dikehendaki soalan adalah penting.
“Semoga usaha yang dilakukan oleh Keajaan PR Selangor, mampu lebih ramai lagi akan mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan dan seterusnya menjadi pelajar pilihan yang akan menyambung pelajaran di dalam berbagai-bagai bidang di dalam Negara atau di luar negara,” kata Dr Shafie.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin, menekankan kepada semua peserta yang mengikuti program ini perlunya memahami teknik jawapan untuk mendapat skor 9A dalam peperiksaan.
Katanya, “kepelbagaian pendekatan akan diadakan bagi membantu meningkatkan prestasi semua pelajar di dalam pelajaran seperti Parenting, Smart Learning, Pelancaran PTRS, Bengkel Pecutan SPM dan bengkel Motivasi Perdana yang akan diadakan pada 22 Oktober 2011 nanti bertempat di Stadium Melawati di Shah Alam”.
“Bengkel Seharian (8.00 pagi – 5.00 petang) bersama semua guru yang berpengalaman luas dalam bidang Sejarah, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Pelajar juga akan didedahkan berbagai petua untuk hadapi peperiksaan seperti Persediaan Menghadapi Peperiksaan, Persediaan pelajar di malam peperiksaan, Petua semasa di dalam Dewan peperiksaan, petua selepas peperiksaan dan petua untuk ibubapa/penjaga ketika anak menghadapi peperiksaan”.