Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi parlimen di Negeri Sembilan, menurut laporan The Star Online.
Menurut artikel yang ditulis Ketua Pegawai Eksekutif The Star Datuk Seri Wong Chun Wai, sumber kanan dalam parti itu berkata Anwar sudah pun membuat keputusan berhubung kerusi tersebut.
PKR hanya mempunyai satu kerusi parlimen di Negeri Sembilan, iaitu Port Dickson yang kini dipegang Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
Pada PRU ke-14, Danyal mendapat 36,225 undi berbanding calon BN V Mogan (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).
Walaupun majoriti 17,710 boleh dianggap sebagai satuk kemenangan besar, Port Dickson mungkin tidak boleh dianggap sebagai “kerusi selamat” jika mengambil kira keadaan politik semasa.
Ini berikutan peratusan keluar mengundi yang amat rendah pada tiga PRK lepas serta kerjasama Umno dan PAS.
Misalnya, dalam PRK Seri Setia yang mempunyai jumlah pengundi yang sedikit rendah berbanding Port Dickson, PKR menyaksikan majoritinya berkurang daripada 19,732 undi kepada 4,207 undi, dan peratusan undi yang dimenanginya menurun daripada 66.6 peratus kepada 58.6 peratus.
PKR hanya menang di Port Dickson dengan memenangi 59.1 peratus undi.
Malaysiakini cuba menghubungi Danyal untuk mengulas perkara ini tetapi tidak dapat dihubungi.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pengumuman tentang kerusi yang akan ditandingi Anwar akan dibuat esok.
“Pukul 11 pagi esok saya akan keluarkan press alert mengenai pengumuman ini,” katanya seperti dipetik Bernama.
Beliau juga menafikan ia adalah kerusi parlimen Pandan, yang kini dipegang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar. – Mkini