Tulisan Najib Razak di Facebook seperti cerita dongeng, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau mengulas ketika ditanya mengenai pendapatnya berkenaan penjelasan bekas perdana menteri itu di Facebook semalam mengenai derma RM2.6 bilion dari kerajaan Arab Saudi pada 2011.
“Saya belum baca lagi. Saya rasa biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau peguam negara yang menelitinya,” kata Lim.
“Kadang-kadang saya tak faham dengan Najib… macam (ulasan Najib) mengenai GST dan SST, Equanimity dan duit yang ditemui dalam premis yang dikaitkan dengan beliau. Bagi saya, semuanya tak masuk akal.
“Saya belum baca lagi cerita terbarunya. Tapi apabila kita baca, ia macam baca cerita dongeng.”
Ketika bercakap kepada pemberita semasa sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini, Lim secara sinis berkata Najib kini “sangat rajin” kerana menulis tiga hingga empat kolum dalam sehari.
Semenjak hilang kuasa, Najib yang masih lagi ahli Parlimen Pekan sering mengeluarkan kenyataan di Facebook.
Semalam, beliau menulis akan mendedahkan sumber derma RM2.6 bilion itu tidak lama lagi sama ada menerusi Facebook atau sidang akhbar. Beliau juga berkata akan menjelaskan pelbagai lagi sumbangan yang diterimanya sejak 2011.
Kata Najib, RM2.6 bilion itu didermakan oleh almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz as-Saud “untuk membantu” Umno bertahan, sekiranya berlaku kebangkitan rakyat ala Arab Spring di Malaysia.
“Memandangkan saya bukan lagi Perdana Menteri dan Raja Abdullah telah mangkat (Al-Fatihah), saya rasa adalah bersesuaian untuk saya dedahkan dokumen berikut bagi membersihkan nama saya dari pelbagai tuduhan dan fitnah,” kata Najib.
Bagaimanapun, dua wartawan Wall Street Journal yang mendedahkan skandal 1MDB berkata bekas Najib hanya mendedahkan fakta terpilih mengenai derma itu.
Tom Wright dan Bradley Hope berkata tidak ada perkara baharu didedahkan dalam hantaran Facebook Najib itu.
“Kami sentiasa melaporkan perkara itu (yang Najib menerima jutaan dari Arab Saudi pada 2011). Ia tiada kaitan dengan AS$681 juta pada 2013 yang datang dari 1MDB, tidak termasuk puluhan juta lagi yang datang dari dana itu,” kata Wright menerusi akaun Twitternya menjawab catatan Facebook Najib.
“Najib berkata dia ambil masa untuk mendapatkan dokumen derma Saudi ini. Kami sudah ada (dokumen) tersebut bertahun lamanya, dan tidak ada perkara baharu mengenainya. Dan ia tidak menjelaskan mengapa dia terima AS$681 juta tunai daripada 1MDB.”
Hope menerusi akaun Twitternya berkata dokumen yang ditunjukkan Najib “sebahagiannya memberikan gambaran salah” dan juga berasaskan “unsur penipuan”, menambah yang dokumen itu diragui kesahihannya. – TMI