Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Beliau berkata, Najib seharusnya tidak bertindak hipokrasi dengan mempertikai pengutipan cukai menerusi SST.
Menurutnya, bekas Presiden Umno itu seharusnya menyedari tentang apa yang dikatakan kerana beliau juga pernah mengutip cukai melalui GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
“Bekas menteri kewangan (Najib) bising kerana dikenakan enam peratus SST, tapi tak bising apabila dia kena bayar enam peratus GST.
“Dulu melalui GST dia tetapkan nilai ambang RM500,000 dan boleh kutip sehingga RM1.2 bilion.
“Tetapi kerajaan baru kita tetapkan nilai ambang kepada RM1.5 juta dan boleh kutip RM711 juta.
“Kita kekurangan RM500 juta kerana kita nak bantu kedai kopi dan restoran, tapi kita boleh pastikan harga tak naik,” katanya.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, walaupun hasil kutipan kerajaan mengalami kekurangan, ia sekurangnya dapat menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat.
“Melalui GST kerajaan kutip lebih banyak, semua kedai kena. Terdapat 17,574 restoran dan kedai kopi kena (cukai), tapi melalui SST hanya 4,000 sahaja.
“Tak sampai 25 peratus daripada keseluruhan jumlah sebelum ini. Itulah bezanya GST dan SST.
“Tetapi Najib masih tak faham. Dulu masa dia kenakan GST, dia tak bersuara langsung.
“Kita harap Najib janganlah bertindak hipokrasi secara ekonomi dan jangan terus menipu rakyat,” katanya.