Penganalisis menjangkakan lebih ramai lagi akan mengikut langkah berani dua pemimpin veteran Umno Mustapa Mohamed dan Anifah Aman yang meninggalkan parti tersebut.
Malah tidak mustahil jika para pengikut Umno turut menyertai parti Bersatu apabila dua tokoh yang disegani itu berbuat demikian, kata penganalisis kepada The Malaysian Insight.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata walaupun agak terlambat, Mustapa yang popular dengan nama Tok Pa itu pasti akan menyertai Bersatu.
“Sudah pasti Tok Pa dijangka menyertai Bersatu. Hal ini kerana Tok Pa pernah menjadi setiausaha politik kepada Daim (Zainuddin, bekas menteri dan kini pengerus Majlis Penasihat Kerajaan).
“Malah Daim yang membantu Tok Pa jadi senator, timbalan menteri dan bertanding di Jeli. Jasa Daim terlalu besar dan Tok Pa dianggap Daim sebagai budak baik.
“Selepas Tok Pa keluar daripada Umno, dijangka ramai lagi ahli Parlimen turut serta. Mereka ini dijangka menyertai Bersatu,” katanya.
Awang berpendapat tindakan Mustapa itu bagaimanapun agak terlambat kerana bekas menteri itu sepatutnya meninggalkan Umno ketika kerajaan pimpinan parti itu masih belum ditumbangkan.
Jelasnya, beliau yakin perkara utama menyebabkan Mustapa tawar hati dengan Umno adalah kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang, siasatan kes tersebut berkembang dengan mendadak dan bekas perdana menteri Najib Razak diheret ke mahkamah atas tuduhan berkait penyelewengan berbilion ringgit.
Oleh itu, isu kerjasama di antara Umno dengan PAS bukanlah faktor utama yang menyebabkan Mustapa meninggalkan parti itu, kata Awang.
“Sudah pasti Tok Pa tidak senang dengan ura-ura kerjasama Umno dan PAS yang dilihat segelintir Umno tidak bersetuju dengan langkah ini.
“Namun, ada sumber menyatakan Tok Pa tak senang hati apabila kononnya derma Arab muncul secara terpilih sekali lagi dalam isu 1MDB yang dibangkitkan oleh Najib Razak, mantan perdana menteri dan presiden Umno.”
Imej lebih bersih dalam Pakatan
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) sudah jelas menawarkan kepimpinan yang lebih diterima ramai dan bersih, di mana sesuai dengan imej baik ahli Parlimen Jeli itu.
Sekiranya Mustapa menyertai Bersatu, bekas menteri kanan itu bakal menjadi calon muka baru yang berpotensi tinggi di Kabinet PH, tambahnya lagi.
Jelasnya, Dr Mahathir juga pernah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan prestasi ahli Kabinetnya.
Sementara itu, mengulas mengenai tindak-tanduk Anifah pula, penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak Prof Jeniri Amir berpendapat langkah keluar parti itu akan memberi kesan besar di Sabah.
Pensyarah kanan fakulti sains sosial itu berkata, tindakan Anifah dan Mustapa seterusnya akan memberi keyakinan kepada lebih ramai lagi wakil rakyat untuk meninggalkan parti pembangkang.
“Saya percaya tindakan mereka berdua ini akan timbulkan satu kesan domino apabila lebih ramai lagi wakil rakyat – Adun atau ahli Parlimen akan ambil tindakan yang sama disebabkan oleh keyakinan mereka.
“Mereka mendapat kekuatan dan semangat daripada tindakan Tok Pa. Kalau Tok Pa dapat lakukan itu, jadi mereka rasa kenapa tidak mereka. Ia beri justifikasi yang lebih kukuh untuk mereka buat satu keputusan yang sama,” katanya.
Jeniri berkata Anifah dilihat sebagai pemimpin yang kritikal apabila pada 2008, ahli Parlimen Kimanis itu mengancam untuk meninggalkan Umno.
Anifah pada waktu itu tidak berpuas hati kerana ahli Parlimen Sabah tidak diberi jawatan menteri Kabinet walaupun negeri itu memberi sumbangan besar kepada kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Beliau turut berbuat demikian pada Mac lalu bagi menekan Najib mengembalikan hak istimewa Sabah dan akhirnya memutuskan untuk keluar pada hari ini atas sebab berkenaan.
Wakil rakyat Umno di Sabah juga berasa terhimpit di Sabah kerana tidak lagi berkuasa. Ini akan menyebabkan mereka cenderung mengikut langkah Anifah, katanya.
“Jadi mereka rasa perjuangan untuk menuntut hak Sabah adalah lebih efektif dengan keluar Umno dan menyertai parti lain.
“Anifah kritikal – pada 2008 antara pemimpin Sabah yang kritikal adalah Anifah. Jadi apa yang dilakukan oleh beliau itu saya percaya akan diikuti oleh beberapa pemimpin dari Sabah lagi dan juga dari Semenanjung.
“Jangan terkejut tindakan mereka ini bawa kesan domino. Maksudnya mereka yang menyimpat hasrat itu akan dapat kekuatan, keberanian baru untuk keluar,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kerjasama PAS dan Umno membuatkan keadaan parti Melayu itu semakin teruk.
Jeniri berkata, tindakan Mustapa dan Anifah keluar parti adalah tanda mereka tidak lagi berada dalam platform yang benar dan jalan terbaik adalah dengan meninggalkan parti yang ditolak oleh rakyat dalam PRU lalu.
“Saya fikir tindakan drastik yang menggemparkan ini oleh Tok Pa disebabkan ketidakyakinan beliau terhadap kepimpinan Umno dan bagaimana Umno di bawah presiden parti.
“Jadi itu juga disebabkan kerjasama Umno dan PAS yang dilihat akan menjerumuskan lagi Umno ke dalam kancah lebih teruk lagi,” katanya.
Jeniri juga berpendapat orang Umno yang keluar parti akan menyertai Bersatu atau PKR untuk memberi jaminan kepada pemimpin tersebut dan para penyokong.
“Mereka perlu untuk menyertai parti politik pemerintah – PH. Kalau tidak, tidak akan berfungsi dengan lebih baik.
Penganalisis politik Ahmad Atory Hussin turut senada dengan Awang Azman dan Jeniri dan berpendapat lebih ramai yang akan keluar meninggalkan parti yang melebihi tujuh dekad itu.
“Saya ramalkan ada ramai lagi nak keluar. Sangat rugi apabila yang keluar itu memegang jawatan ahli Parlimen. Setakat ini lima orang ahli Parlimen keluar Umno.
“Kalau hampir separuh keluar, susahlah. Pembangkang akan terjejas banyak,” katanya.
Atory berkata keadaan itu berlaku kerana Umno masih belum membuat perubahan menyeluruh, walau sudah dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum 9 Mei.
Pemimpin kanan masih terdiri daripada orang lama yang dilihat tidak mampu melakukan perubahan terhadap parti tersebut, katanya.
“Perubahan yang nampak ialah Najib berhenti. Tapi itu tak cukup sebab pada pandangan saya, rakyat mahu perubahan secara total di kalangan pemimpin Umno itu.
“Bukan saja Najib, tapi mereka tak mahu konco-konco Najib. Mereka tidak mahu Zahid (sebagai presiden) sebenarnya. Mereka mahu orang yang lain daripada Zahid seperti KJ (Khairy Jamaluddin) atau mungkin seperti Tok Pa untuk ambil alih.
“Mereka tak mahu orang seperti Tajuddin Abdul Rahman (ahli Parlimen Pasir Salak) , Nazri Aziz (ahli Parlimen Padang Rengas), Annuar Musa (ahli Parlimen Ketereh/ setiausaha agung).
Setakat ini, lima ahli Parlimen dan 13 Adun keluar daripada Umno selepas parti itu hilang kuasa pada 9 Mei lalu. – TMI