Seorang penganalisis politik berpandangan Umno sepatutnya kekal menjadi parti berhaluan tengah dan berusaha memikat kembali hati pengundi Cina, India, dan rakyat di Borneo selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.
Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata kerjasama Umno-PAS pada ketika ini dilihat menggugat usaha itu dan menjadi penyebab penting 2 pemimpin tertingginya bertindak keluar parti.
“Sememangnya ia (tindakan 2 pemimpin keluar parti) adalah respons terhadap tindakan Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi untuk berpakat dengan PAS.
“Perhitungan Zahid ialah mengharapkan tekanan oleh Umno-PAS dalam isu Melayu-Muslim boleh pecahkan Pakatan Harapan (PH)
“Akan tetapi, jika PH berpecah dan ada puak yang keluar, ramai Ahli Parlimen Umno dan juga Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan serta-merta masuk PH dan mengisi kekosongan,” katanya kepada FMT.
Pada Selasa lepas Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar Umno dan diikuti Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dalam tempoh kurang 24 jam.
Wong berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan Anifah yang juga merupakan bekas menteri luar negeri keluar parti Melayu itu.
“Orang Borneo rata-rata menolak PAS, saya tidak hairan kalau Umno Sabah keluar Umno sebelum Perhimpunan Agung Umno yang dijangka akan mengeratkan lagi hubungan Umno dan PAS,” katanya lagi.
Susulan tindakan yang diambil kedua-dua bekas pemimpin Umno itu, Zahid berkata perbuatan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diteladani.
“Meninggalkan Umno ketika parti sedang diuji, bukanlah sikap terpuji dan boleh diteladani. Islam mendidik kita agar taat selagi mana kita tidak menyalahi apa yang dikehendaki syarak. Saya ingin nyatakan atas alasan apa pun, tindakan tersebut sangat tidak wajar dilakukan,” katanya.
Bagi seorang lagi penganalisis politik Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), langkah yang diambil oleh Mustapa, yang lebih dikenali sebagai Tok Pa, dan Anifah itu tidak akan menjejaskan Umno.
Katanya, secara dasar majoriti ahli Umno sudah bersetuju dengan langkah untuk bekerjasama dengan PAS pada ketika ini.
“Sebahagian besar Ahli Parlimen Umno telah memberi persetujuan kepada presiden Umno untuk berunding dgn mana-mana parti, termasuk PAS.
“Malah secara rambang rata rata ahli akar umbi Umno bersetuju dengan kerjasama dengan PAS,” katanya.
Khairy Jamaluddin menerusi catatan di laman Twitternya menyalahkan Zahid atas apa yang berlaku selepas Tok Pa bertindak keluar parti.
Khairy berkata beliau lantang mengingatkan parti itu supaya tidak bersekutu dengan PAS tetapi diserang oleh rakan dalam parti.
Sehingga kini 5 Ahli Parlimen Umno yang telah mengisytiharkan keluar parti ialah Anifah Aman (Kimanis), Mustapa Mohamed (Jeli) Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Noor Azmi Ghazali. – TMI