Walaupun Pas telah mengumumkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson (PD) namun banyak pihak kecewa kerana kerusi tersebut tidak ditandingi Umno.
Bagi mereka Pas tidak akan menang jika meletakkan calon di kawasan masyarakat berbilang kaum iaitu 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus Cina dan 22 peratus India. Sebaliknya Umno berkemungkinan mempunyai peluang merapatkan jurang majoriti kemenangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kemajmukan gabungan itu.
Menurut pemimpin DAP Pahang, M Manogaran, keengganan Umno bertanding itu membuktikan parti tersebut telah hilang pengaruh dan kekuatan di Negeri Sembilan.
“Semua orang tidak menjangka Umno akan menarik diri dan alasan yang diberikan, iaitu kerusi tersebut dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar, bukan kosong dengan cara yang ‘betul’ adalah alasan yang lemah dan dangkal.
“Saya berpendapat Umno tahu Anwar akan mudah menang dengan jumlah undi yang besar dan oleh itu mereka tidak mahu membazir wang dan masa untuk bertanding kerana imej mereka akan terjejas jika kalah teruk,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Manogaran berkata, Umno atau BN perlu berpegang kepada idea demokrasi dan mengetengahkan hujah mengapa rakyat perlu pilih mereka di Port Dickson.
“Kegagalan untuk bertanding kali ini sebenarnya membuktikan mereka tandus idea untuk mengurus-tadbir negara.
“Justeru, mereka tiada kemampuan untuk berhujah. Dengan secara tidak langsung, situasi ini telah menunjukkan kepada rakyat bahawa BN mentadbir (penggal lalu) secara hentam-keromo sahaja sehingga hutang negara mencecah lebih RM1 trilion,” katanya.
Manogaran yakin koalisi BN mempunyai masa depan yang malap kerana pemimpin-pemimpin gabungan itu masih terperangkap dengan pemikiran lama walhal negara dan rakyat mengorak langkah untuk maju ke depan dalam era Malaysia Baru.