Port Dickson jadi tumpuan hari ini bagi menentukan sama ada Anwar Ibrahim dan pencabarnya layak bertanding sebagai calon dalam pilihan raya kecil.
Para penyokong Pakatan Hari ini berhimpun sejak awal pagi lagi di Padang Petanque berhampiran pejabat daerah untuk mengiringi calon mereka, Anwar Ibrahim ke pusat penamaan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Dua daripada individu yang mengumumkan akan mencabar Anwar itu dikaitkan dengan Umno – Mohd Isa Samad, bekas ahli Parlimen kawasan tersebut dan bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan.
Mohd Isa merupakan bekas pengerusi Felda yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kes pelaburan kontroversi melibatkan agensi tersebut sebelum ini.
Bekas menteri dan bekas menteri besar Negeri sembilan itu mengumumkan keluar parti minggu ini untuk bertanding di kerusi tersebut ekoran pengumuman Umno untuk tidak meletakkan calon.
Saiful Bukhari Azlan pula merupakan individu yang bertanggungjawab membuat dakwaan diliwat Anwar – yang membawa kepada sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas bekas majikannya itu.
Saiful Bukhari aktif dalam kempen Umno sebelum ini untuk memburuk-burukkan Anwar dan juga parti pembangkang, sebelum kerajaan Barisan Nasional tumbang 9 Mei lalu.
Anwar bertanding hari ini untuk kembali ke Parlimen selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ke atas hukuman berkenaan pada 16 Mei lalu.
Bekas ahli Parlimen kawasan berkenaan Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 Septemper lalu bagi membolehkan pilihan raya kecil ini diadakan.
Seorang lagi individu yang mengumumkan untuk menentang Anwar ialah Stevie Chan Keng Leong, yang popular sebagai pengulas isu semasa di media sosial.
Beliau ingin bertanding sebagai tanda protes ke atas pilihan raya kecil digelar Langkah PD ini, yang didakwanya sebagai satu paksaan ke atas pengundi semata-mata bagi membolehkan Anwar menjadi perdana menteri.
Seorang lagi bakal pencabar Anwar adalah veteran tentera dari PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.
PAS mempertaruhkan pengaruh veteran tentera itu memandangkan lebih 4,500 daripada kira-kira 75,200 pengundi Port Dicson merupakan anggota tentera.
Kawasan pinggir laut yang digelar Bandar Tentera Darat itu juga didiami oleh ramai bekas anggota dan pegawai pasukan tersebut.
Beberapa calon Bebas lain juga mungkin akan bertanding dalam pilihan raya kecil yang paling menjadi tumpuan sejak pilihan raya umum 9 Mei.
Penamaan calon bermula jam 8 pagi dan senarai calon yang layak bertanding akan diketahui seawal jam 10 pagi selepas proses penamaan ditutup. – TMI