Lima calon Bebas dan seorang calon PAS disahkan sebagai calon untuk menggagalkan hasrat Anwar Ibrahim menjadi ahli Parlimen Port Dickson dan perdana menteri Malaysia.
Tumpuan utama adalah dua individu yang dikaitkan dengan Umno – bekas pembantunya Anwar, Saiful Bukhari Azlan dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad yang menyerahkan borang untuk bertanding Bebas.
Empat lagi individu yang disahkan sebagai calon Bebas adalah Stevie Chan, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen.
Pencalonan seorang lagi individu, A Ratenda bagaimanapun ditolak oleh pegawai pengurus pilihan raya kerana tidak layak. Individu tersebut tiba di pusat penamaan pada jam 10 pagi.
Calon PAS yang Mohd Nazari Mokhtar, bekas presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat) turut disahkan bertanding.
Anwar yang berbaju Melayu biru muda dan bersongkok tiba di pusat penamaan calon kira-kira pukul 8.45 pagi diiringi paluan gendang tarian singa dan tarian naga penyokong PH yang berkumpul sejak pukul 7 pagi.
Kebanjiran ribuan penyokong beliau yang tidak berhenti-henti melaungkan slogan “Reformasi” memaksa pihak polis menutup jalan utama menuju ke pusat penamaan calon.
Turut kelihatan mengiringi Anwar adalah keluarganya, termasuk Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bersama kepimpinan tertinggi parti Islam itu turut kelihatan mengiringi calon PAS di pusat penamaan calon.
Kira-kira 100 penyokong PAS turut kelihatan di pusat penamaan calon.
Turut berhimpun adalah penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang melaungkan slogan “hidup pekerja, naik gaji minima” dan membawa sepanduk dengan slogan “bantah RM1.050 gaji minima”.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh pengundian.
Kawasan Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar dengan pecahan 42% Melayu, 33% Cina dan 22% India.
Kerusi itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Telok Kemang adalah kubu kuat BN sehinggalah dipecahkan oleh PKR dalam PRU 2008 apabila calonnya Kamarul Bahrin Abbas mengalahkan bekas timbalan menteri BN, S Sothinathan.
Kamarul mengekalkan kerusi itu pada PRU 2013. Dalam PRU14, calon PH Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi parlimen itu dengan 17,710 undi mengalahkan calon BN V Mogan dari MIC dan calon PAS Mahfuz Roslan.
Beliau kemudiannya meletak jawatan untuk membolehkan Anwar bertanding di kerusi berkenaan. – TMI