Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil hari ini membuat laporan polis ke atas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang dalam hantaran di Facebook mendakwa bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbabit dengan dakwaan liwat terbaru.
“Saya membuat laporan ini kerana saya fikir kenyataan itu dibuat dengan niat jahat, penuh tuduhan dan cubaan mengubah persepsi orang ramai terhadap Anwar yang adalah calon dalam pilihan raya kecil Port Dickson,” kata Fahmi dalam satu sidang akhbar di Port Dickson hari ini.
Beliau menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera kerana katanya, beliau dimaklumkan Lokman akan mengeluarkan lebih banyak kenyataan “tidak berasas” seperti itu dalam masa terdekat.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menafikan dakwaan terbaru itu yang menurutnya seolah-olah cubaan untuk menjejaskan kerjaya politik suaminya.
“(Dakwaan ini) sudah jawab… berita berita, berita palsu,” kata Wan Azizah.
Beliau ditemui selepas perasmian bulan kaunseling negara 2018 di ibu pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya.
Lokman dalam catatan di Facebooknya mendakwa bahawa Mediacorp Singapura melaporkan seorang pelajar Indonesia membuat laporan polis di Singapura bahawa dia telah diliwat oleh Anwar.
Mediacorp menafikan pernah menerbit laporan seumpama itu dan telah memaklumkan kepada Lokman supaya menurunkan berita itu. Menurut syarikat itu, pihak berkuasa Singapura juga menafikan wujudnya laporan polis berkenaan.
Hantaran itu kemudian dipadamkan dan Lokman kemudian menjelaskan bahawa artikel tersebut tidak diterbitkan oleh Mediacorp – Mkini